Solat sunat istikharah didirikan bertujuan memohon petunjuk daripada Allah SWT, iaitu dalam membuat sesuatu pilihan yang terbaik. Solat sunat ini selalunya ditunaikan bagi memecah kekeliruan, ketidakpastian ataupun menambah keyakinan dalam membuat pemilihan.
Solat ini juga didirikan demi memohon petunjuk Allah SWT dalam menjalani kehidupan di dunia tanpa tersalah langkah dan matlamat yang tidak diredaiNya.
Tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ianya nampak remeh. Lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan, perkara yang diremehkannya itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya.(Sheikh Abdurrahman al-Mubarakfuri)
Bilakah waktu yang sesuai untuk beristikharah?
Solat sunat istikharah boleh dilakukan bila-bila masa pun, tetapi masa terbaik yang disarankan adalah pada tengah malam, iaitu tepatnya di sepertiga malam. Solat ini jug sangat sesuai untuk didirikan semasa berqiyamulaiail.
Solat sunat ini sering didirikan selama tiga atau tujuh hari berturut-turut, dan kecendurungan sesuatu keputusan itu boleh dirasakan melalui gerak hati, mimpi dan sebagainya.
Berapakah rakaat solat sunat ini?
Solat istikharah boleh ditunaikan dengan dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam kali salam.
Cara mendirikan solat sunat istikharah?
Niat
“Sahaja aku solat sunat isthikarah dua rakaat kerana Allah Taala.”
Rakaat Pertama
1. Dimulakan dengan takbir dan berniat dalam hati.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca surah al-Fatihah.
4. Dianjurkan membaca surah al-Kafirun.
5. Rukuk dan iktidal.
6. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
Rakaat Kedua
1. Dimulakan dengan lafaz takbir permulaan rakaat kedua.
2. Membaca surah al-Fatihah.
3. Dianjurkan membaca surah al-Ikhlas.
4. Rukuk dan iktidal.
5. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
6. Membaca doa istikarah ketika sujud akhir;
“Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
7. Duduk tahiyyat akhir.
8. Memberi salam.
9. Baca surah al-Fatihah dan berwirid. Perbanyak istigfar dan memohon keampunan Allah SWT.
10. Membaca doa solat sunat istikharah.
Doa Solat Sunat Istikharah:
“Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau ya Allah.
Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung.
Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.
Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku.
Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka ku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada. Jadilah aku orang yang redha atas anugerahMu.”
Penutup
Sesungguhnya istikharah adalah pembantu ketika buntu, sedih, keliru, putus asa. Bahkan, solat ini juga sebagai pertanyaan hambaNya kepada Allah, akan perkara serta penyelesaian yang terbaik di saat tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi.
Ini termasuklah dalam bab memilih pasangan, persimpangan memilih kerjaya, ataupun hal-hal lain yang membuatkan kita serba salah. Istikharah juga boleh ditunaikan walaupun sudah ada ketetapan jawapan sendiri, tetapi tetap mahukan keyakinan atas pilihan itu.
Jadi, beristikharahlah untuk menenangkan hati atas setiap apa jua tindakan dan pilihan yang diputuskan, semoga Allah SWT membalas dengan izin dan redaNya, amin.