Siri 009 Terbitan 21 July 2020

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

“Apabila sampai ajal maut seseorang maka manusia tidak berupaya menunda mahupun mempercepatkan, walau sesaat pun.” (Surah al-A’raf :34)

Kematian adalah sesuatu yang telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi setiap makhluk yang hidup. Bahkan setiap yang hidup itu pasti akan merasai kematian, tidak akan ada satu pun yang terlepas.

Andai berlaku kematian itu, terdapat adab-adab tertentu dalam menguruskan jenazah sebagai penghormatan terakhir di dunia, termasuklah dengan mendirikan solat jenazah selepas dimandi dan dikafankan.

Solat jenazah adalah satu amalan masyarakat Islam sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat lagi. Berkata Salamah bin Al-Akwa’ r.a:

“Pada suatu ketika kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, lalu ketika itu dibawa jenazah. Baginda berkata: Solatlah sahabat kamu itu” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bilakah waktu solat jenazah?

Diharuskan solat jenazah pada bila-bila masa pun (apabila berlakunya kematian).

Apakah hukumnya solat jenazah?

Hukum solat jenazah fardu kifayah, iaitu wajib untuk umat Islam di sesuatu kawasan tersebut. Ini bermaksud, jika ada seorang yang mengetahui cara melakukan solat jenazah ini, maka kewajipan ke atas yang lain akan terlepas.

Apakah rukun solat jenazah?

1. Terdapat tujuh rukun solat jenazah;
2. Niat berserta takbiratulihram.
3. Berdiri tegak (solat jenazah tidak ada rukuk dan sujud)
4. Bertakbir dengan empat kali takbir termasuk takbiratulihram bersama dengan niat.
5. Membaca al-fatihah selepas takbiratulihram.
6. Selawat ke atas Rasulullah SAW selepas takbir yang kedua.
7. Berdoa untuk jenazah yang disembahyangkan selepas takbir yang ketiga
8. Memberi salam selepas takbir yang keempat.

Bagaimana kedudukan jenazah dalam solat?

Terdapat perbezaan kedudukan antara jenazah lelaki dan perempuan semasa disembahyangkan;

Jenazah lelaki: Kepala jenazah diletakkan pada sebelah kiri imam dengan kebanyakan bahagian badan jenazah di sebelah kanan imam dan imam berdiri di bahagian kepalanya.

Jenazah perempuan atau khunsa: Kepala jenazah diletakkan pada sebelah kanan imam dan imam berdiri di bahagian punggungnya.

Bagaimana caranya mendirikan solat ini?

Berikut adalah cara mendirikan solat jenazah:

1. Niat dan takbiratulihram.

Niat untuk jenazah lelaki:

“Aku bersolat ke atas jenazah lelaki ini empat takbir sebagai kerana Allah Taala.”

Niat untuk jenazah perempuan:

“Aku bersolat ke atas jenazah wanita ini empat takbir sebagai imam/sebagai makmum kerana Allah Taala.”

2. Kedudukan tangan sama seperti dalam solat biasa.
3. Baca surah al-Fatihah.
4. Takbir untuk kali kedua dan angkat tangan ke telinga. Kemudian letakkan tangan kembali ke badan.
5. Baca selawat ke atas Nabi. Atau adalah afdal dengan membaca selawat Ibrahimiyyah.

“Ya Allah, berikanlah selawat atas Nabi dan atas Keluarganya, sebagaimana Engkau pernah memberi rahmat kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Dan limpahilah berkat atas Nabi Muhammad dan para keluarganya, sebagaimana Engkau pernah memberikan berkat kepada Nabi Ibrahim dan para keluarganya, di seluruh alam ini, sesungguhnya Engkau Yang Terpuji lagi Yang Maha Mulia”

6. Takbir kali ketiga dan angkat tangan ke telinga. Kemudian letakkan tangan kembali ke badan.
7. Baca doa untuk jenazah.

Doa pendek untuk jenazah lelaki:

“Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan ampunilah dosa dan 
kesalahannya..”

Doa pendek untuk jenazah perempuan:

“Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, sejahterakanlah dia dan ampunilah dosa dan 
kesalahannya..”

Doa yang afdhal untuk jenazah lelaki:

“Ya Allah, ampunkanlah jenazah ini, kasihanilah dia, sejahterakan dan selamatkan dia. Muliakanlah kedudukannya, lapangkan ruang kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan embun suci. Lupuskan dia daripada segala noda dosa, sebagaimana Engkau bersihkan baju putih daripada kotoran.

Gantikan baginya tempat tinggal yang lebih baik dari tempat kediaman sebelum ini. Berikan kepadanya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya yang ada. Hindarkanlah dia (Ya Allah) daripada seksa kubur dan seksa neraka.”

Doa yang afdhal untuk jenazah perempuan:

9. Beri salam pertama.
10. Baca doa solat jenazah.

Doa untuk jenazah lelaki:

“Segala puji bagi Allah Tuhan Alam semesta. Selawat dan salam untuk penghulu kami Sayyidina Muhammad Nabi dan Rasul yang paling mulia, juga ke atas para sahabat Baginda sekaliannya. Ya Allah, jadikanlah kuburnya seperti taman daripada taman-taman syurga.

Ya Allah, Engkaulah Tuhannya, Engkau yang menjadikannya, Engkau yang juga memberikannya petunjuk sehingga dia menganut agama Islam. Namun, Engkau juga yang mematikannya, Engkau lebih tahu hal ehwalnya, baik yang tersembunyi mahu pun yang terang.

Ya Allah, kami hadir di sini dengan penuh rasa berharap untuk memohon baginya pertolongan-Mu. Oleh itu, ampunkanlah kami semua dan dirinya dengan ihsan dan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selawat dan restu Allah untuk Rasul junjungan kami Nabi Muhammad, juga kepada seluruh keluarga dan sahabat Baginda, semoga sejahtera mereka semuanya. Segala puji hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam.”

Doa untuk jenazah perempuan:

Adakah perkara sunat dalam solat ini?

Ada beberapa perkara sunat dalam mendirikan solat jenazah, iaitu:

1. Sunat mendirikan solat jenazah secara berjemaah
2. Mengangkat kedua-dua tangan untuk keempat-empat takbir.
3. Meletakkan tangan di bawah dada selepas mengangkat takbir.
4. Mengucapkan ‘amin’ selepas membaca surah al-Fatihah.
5. Disunatkan juga membaca ta’awwuz, tetapi tidak disunatkan membaca doa iftitah.
6. Memperlahankan bacaan dalam solat.
7. Berdiri dalam tiga saf atau lebih.
8. Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi SAW.
9. Doa ke atas muslimin dan muslimat.
10. Sunat membaca doa selepas takbir keempat dan sebelum salam
11. Memberikan salam yang kedua.

Penutup

Walaupun solat jenazah bukanlah wajib hukumnya, tetapi sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab sebaiknya kita mengetahui dan mempelajari cara menunaikannya.

Hal ini kerana jika kelak ada sebarang kematian, ianya sangatlah dikesalkan jika kita tidak pandai menunaikannya, tambahan lagi jika yang meninggalkan itu pula adalah ibu bapa kita, mahupun ahli keluarga atau sahabat handai. Sedangkan ahli keluarga adalah sebaik-sebaiknya yang wajar mendirikan solat jenazah ini sebagai penghormatan terakhir kepada si mati.

Dengan itu, walaupun hukum solat ini adalah fardhu kifayah, tapi kita mesti mewajibkan diri sendiri untuk mempelajari selok-belok mengerjakan solat ini, termasuklah akan pengurusan jenazah, agar kita sendiri bersiap sedia dan sentiasa mengingati akan kematian.

Penulis

Rabiatul Adawiyah

Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan; terutamanya penulisan kreatif seperti cerpen dan puisi, selain isu semasa, sejarah dan keagamaan. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Media dan Sejarah dari Universiti Malaya, kini sebagai editor dan penulis sambilan.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 014

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan hidup.

Episod 013

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’.

Episod 012

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 008

Cara Solat Sunat Hajat Yang Mudah & Ringkas

Solat yang ditunaikan untuk memohon sesuatu permintaan.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Kaabah

Sejadah bermotifkan sesenian Kaabah yang menggamit kenangan bersolat di tanah suci.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.