Siri 003 Terbitan 30 April 2020

Disebalik Rahsia Solat Wustho

Solat Wustho merupakan solat yang diberi peringatan oleh Allah agar dijaga dengan sebaiknya seperti mana firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 2:238:

“Peliharalah kamu kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya segala solat fardu, khasnya solat Wustho iaitu solat Asar dan berdirilah kerana Allah dalam solat kamu dengan taat dan khusyuk.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa solat Wustho merupakan solat yang perlu dititikberatkan tanpa kita mengabaikan solat-solat wajib yang lain. Akan tetapi, mengapa agaknya Allah memberi penekanan kepada kita agar memberi perhatian terhadap solat Wustho?

Kisah Orang Arab

Hamka, di dalam kitabnya Tafsir Al-Azhar menyebut bahawa Syed Muhammad Abduh menyatakan yang orang Arab terdahulu sangat suka lalai sewaktu masuk Solat Wustho. Mereka suka duduk berkumpul membicarakan tentang soal-soal kehidupan, cerita-cerita berkenaan dengan urusan seharian serta cerita yang tiada hujung pangkalnya.

Terlalu banyak yang diperbualkan sehingga menyakitkan hati, menyebabkan pertengkaran dan akhirnya menimbulkan permusuhan. Manakan tidaknya, segala perbualan dipenuhi dengan sifat mazmumah. Masing-masing bermegah diri dengan harta yang diperolehi, suka pula merendah-rendahkankan orang lain serta angkuh memuji diri sendiri.

Perbuatan mereka ini telah menyebabkan mereka lalai dan leka daripada memperingati waktu untuk solat Wustho yakni solat Asar. Menurut Syed Muhammad Abduh lagi, untuk memperingatkan diri mereka tentang kepentingan Solat Asar, maka Surah Al-‘Ashr juga telah ditafsirkan sebagai ‘Demi Asar’, iaitu perhatikanlah waktu Asar.

Waktu Asar Waktu Kritikal

Waktu Asar juga merupakan waktu yang agak kritikal bagi kita umat Nabi Muhammad s.a.w. Bagi yang bekerja mengikut waktu pejabat, kita akan kalut berkemas untuk pulang ke rumah pada pukul 5 petang. Ada juga yang duduk berehat setelah penat bekerja sementara menunggu minit-minit terakhir untuk pulang.

Waktu itu tenaga kita sudah berada hampir di takuk sifar. Badan kita letih setelah seharian penat bekerja. Apatah lagi jika berada di bandar, terpaksa pula menghadapi kesesakan jalan raya untuk sampai ke rumah.

Jika perjalanan kita lancar, sempatlah kita bersolat Asar di rumah. Jika tidak, Maghrib pula menjelma dan terlepaslah Asar kita.

Rahsia Di Sebalik Waktu Asar

Sebenarnya, waktu Subuh dan Asar itu merupakan dua waktu yang penting di mana dua malaikat Hafazah bertukar syif untuk naik mengadap Allah menceritakan tentang keadaan kita. Malaikat Hafazah inilah yang ditugaskan oleh Allah untuk menjaga manusia.

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Maka apabila Allah bertanyakan tentang perihal hamba-Nya kepada malaikat Hafazah, maka jawapan mereka ialah: “Kami datang kepada mereka melihat mereka bersolat dan kami tinggalkan mereka pun dalam keadaan mereka bersolat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bayangkan bagaimana jawapan malaikat Hafazah jika kita masih tidak bersolat? Maka sebagai seorang hamba Allah yang baik, seharusnya kita menyegerakan solat yang telah diwajibkan kepada kita apabila telah masuk waktu menunaikannya.

Rasulullah s.a.w juga memberi jaminan bahawa:

“Barangsiapa yang mengerjakan solat bardain iaitu solat Subuh dan Asar maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akibat Meninggalkan Solat Asar

Abdullah bin Umar r.a mengkhabarkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Orang yang tidak mengerjakan solat Asar adalah seperti orang yang dikurangi anggota keluarganya dan seluruh harta bendanya.” (Riwayat Muslim dan At- Tirmidzi)

Bahkan, Burairah r.a menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa meninggalkan solat Asar, maka sia-sialah amalannya.” (Riwayat Bukhari)

Jika kita culas menunaikan solat, segalanya menjadi tidak bermakna. Sudahlah menanggung dosa tidak bersolat, segala amalan kita tidak diterima kerana perkara pertama yang akan Allah hisab di akhirat ialah solat.

Solat ialah tiang agama. Solat juga penentu kita ke syurga atau neraka. Maka jagalah solat dengan sebaiknya dan janganlah kita lalai saat telah masuk solat Wustho.
 
 
Rujukan:
Hamka, Tafsir Al-Azhar, Selangor: PTS Publishing House Sdn. Bhd., 2017.
Solusi Isu (93) Nikmat Beriman dengan Malaikat. (2016). Telaga Biru.

Penulis

Nur Ismalina Haris

Beliau merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 014

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan hidup.

Episod 013

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’.

Episod 012

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 009

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

Andai berlaku kematian, dirikanlah solat jenazah bagi menghormati si mati.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Raudah

Sejadah bermotifkan kesenian Raudah. Sentuhan dari organisasi yang menghasilkan permaidani Masjid Haram & Masjid Nabawi.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.