Siri 014 Terbitan 6 August 2021

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Solat merupakan kewajipan bagi setiap muslim, bahkan sebagai tiang agama Islam. Solat juga adalah paksi keimanan seorang muslim yang mengaku beriman dengan Allah SWT dan diikuti dengan amal soleh, seperti dinyatakan dalam surah al-Baqarah: 277;

“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak pula berdukacita.”

Sesuai dengan firman Allah mengenai pentingnya solat dalam hidup, umat Islam digalakkan untuk berusaha menunaikan solat pada awal waktu. Nabi Muhammad SAW juga menyatakan perkara ini dalam sabdanya;

“Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab; Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab baginda “Jihad pada jalan Allah SWT.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Namun apakah kelebihan dan hikmah solat awal waktu sehingga ditekankan dalam al-Quran dan hadis?

1. Membentuk Disiplin Diri

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (an-Nisaa:103)

Solat yang ditunaikan pada waktu tertentu dan mengikut tertib dapat melatih seseorang muslim untuk berdisiplin dan mudah mematuhi arahan. Sifat ini dibawa pula dalam pengurusan jadual seharian dengan mengambil kira penjagaan masa dengan sebaiknya.

Kesannya, setiap saat dirasakan sangat berharga dan tidak akan terbuang dengan perbuatan lagha atau sia-sia. Sesungguhnya, disiplin diri yang kukuh terbina bermula dengan penjagaan solat pada awal waktu.

2. Mendapat Ketenangan Hati

Kehidupan yang tenang adalah menjadi impian setiap orang. Islam telah mengajarkan bahawa ketenangan ditemui dalam mengingati Allah SWT dan solat adalah salah satu caranya. Seperti yang dinyatakan dalam firman Allah,

“Dirikanlah solat untuk berzikir kepadaKu.” (Taha:14)

Zikir yang dilakukan dengan khusyuk akan memberi ketenangan kepada pengamalnya dan membantu meredakan kekacauan fikiran.

3. Mendapat Keredaan dan Keampunan Allah

Keampunan dan keredaan Allah adalah matlamat utama dalam kehidupan orang muslim yang mendambakannya. Tiada gunanya kesenangan pangkat dan kewangan jika tiada keredaan Allah. Justeru, solat awal waktu merupakan cara meraih keampunan dan keredaan Allah. Allah suka hambaNya merayu dan meminta kepadaNya. Selaras dengan firmanNya;

“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir:60)

4. Segala Urusan Dipermudahkan

Setiap manusia pasti mahu setiap urusannya dipermudahkan dan diberkati Allah SWT. Apabila mendirikan solat di awal waktu, seseorang itu akan mulai sedar bahawa Allah akan menjaga diri serta urusannya dengan cara yang paling baik. Sesuai dengan hadis Nabi SAW;

“Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarmu beberapa kalimat; jagalah Allah nescaya Allah menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemuiNya dihadapanmu, bila kau meminta, mintalah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya seandainya umat bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak akan memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (Maksudnya takdir telah ditetapkan)” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Menurut Ibnu Rajab dalam Kitab Ulum al-Hikam, maksud ‘jagalah Allah’ adalah menjaga perintah dan larangan Allah SWT nescaya hidup diberkati dunia dan akhirat. Lalu, menjaga solat bererti turut menjaga perintah Allah.

5. Sebagai Amalan Terpuji dan Terbaik

Solat awal waktu merupakan sebaik-baik amalan yang sangat digalakkan oleh Nabi dan para ali. Rasulullah SAW bersabda,

“Amalan apakah yang paling utama? Baginda menjawab: Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Dengan itu apabila kita bersolat awal waktu, secara tidak langsung kita telah mengikut amalan sunnah Rasulullah SAW yang merupakan suri tauladan umat.

Penutup

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai matlamat dan keutamaan hidup. Seringkali kita bersungut mengenai rezeki dan keinginan yang belum diperoleh, dalam pada masa sama segala usaha sudah dilakukan. Jika begitu, cuba selidiki semula solat kita dan memperbaiki kekurangan dan kelemahannya. Jika solat sering saja lewat, usahakanlah untuk bersolat awal waktu dan menambah ilmu tentang solat.Mudah-mudahan, segala urusan dipermudahkan dan rahmatNya dapat diperoleh. Amin.

Penulis

Rabiatul Adawiyah

Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan; terutamanya penulisan kreatif seperti cerpen dan puisi, selain isu semasa, sejarah dan keagamaan. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Media dan Sejarah dari Universiti Malaya, kini sebagai editor dan penulis sambilan.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 013

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’.

Episod 012

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 009

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

Andai berlaku kematian, dirikanlah solat jenazah bagi menghormati si mati.

Episod 008

Cara Solat Sunat Hajat Yang Mudah & Ringkas

Solat yang ditunaikan untuk memohon sesuatu permintaan.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Kaabah

Sejadah bermotifkan sesenian Kaabah yang menggamit kenangan bersolat di tanah suci.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.