Kenapa kita perlu berselawat ke atas Rasullullah S.A.W? Jawapannya nyata sekali, iaitu, kerana Allah S.W.T telah memerintahkannya seperti firmanNya di dalam Surah Al Ahzab ayat 56, terjemahannya bermaksud:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi Muhammad. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkan salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Antara keistinewaan selawat ialah apabila kita berselawat ke atas kekasihNya, Allah Ta’ala pula berselawat ke atas kita berganda-ganda berdasarkan hadis Nabi S.A.W. Dari Abi Hurairah telah berkata bahawa Rasulullah bersabda:
“Sesiapa yang berselawat untukku satu kali, Allah berselawat pula untuknya sepuluh kali.”
Riwayat Muslim, Abu Daud, at Tarmizi dan an Nasai.
Antara perkara paling mudah untuk mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W ialah dengan berselawat sebanyak mungkin semasa hidup kita, jadikan selawat sebagai zikir harian. Mudah-mudahan kita akan selamat di dunia dan akhirat serta akan berputik rasa cinta, rindu dan ta’at kepada Allah dan kekasihNya.