Siri 012 Terbitan 8 July 2021

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Amalan solat merupakan amalan yang membezakan antara muslim dan belum muslim. Dalam sabda baginda SAW,

“Asas segala amalan adalah Islam, tiangnya solat dan puncaknya adalah jihad.” (Riwayat al-Tirmizi)

Jelas, solat adalah nadi hidup seorang mukmin yang dilaksanakan mengikut waktu dan tertib malah sebaiknya disertai kekhusyukan. Dengan itu, solat seseorang mukmin menjadikannya orang berjaya seperti yang dinyatakan dalam al-Quran,

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (al-Mu’minun: 1-2)

Menurut Imam al-Hanbali Rahimahullah dalam Al-Khusyuk Fi Al-Solat, asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia. Namun, sejauh mana kita telah berjaya meraih khusyuk dalam solat? Berikut langkah agar beroleh solat yang khusyuk.

1. Bersiap awal sebelum solat

Solat terbaik adalah pada awal waktu. Lakukan persiapan awal seperti bersugi dan mengenakan pakaian yang terbaik merupakan salah satu cara untuk meraih kekhusyukan. Dengan ini, kita tidak akan kelam kabut apabila tibanya waktu solat.

Hati dan perasaan menjadi tenang serta anggota badan akan lebih bersedia menunaikan solat. Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati, tetapi juga pada anggota badan. Selaras dengan kata-kata Sa’id bin Musayyib rahimahullah dalam Sunan al-Kubra oleh Imam al-Baihaqi,

“Kalau seandainya hati orang ini khusyuk, tentulah akan khusyuk anggota tubuhnya.”

2. Memahami Setiap Bacaan Solat

“Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.”

Sesuai dengan ungkapan ini, kita digalakkan untuk mempelajari dan menghayati setiap perbuatan dan bacaan dalam solat kerana ini akan membantu khusyuk dalam solat. Alangkah sia-sianya jika kita hanya bersolat sekadarnya tanpa kesungguhan bahkan tidak memahami apa-apa yang dibaca semasa solat.

3. Solat Dengan Tenang Dan Tidak Tergesa-Gesa

Perlakuan solat seperti tidak mempunyai tamakninah antara rukuk dan sujud serta tergesa-gesa dilarang oleh Allah SAW. Baginda SAW mengingatkan dalam sabdanya;

“Sesungguhnya Nabi SAW masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah SAW menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Solat memerlukan tumpuan dan dilakukan dengan berhati-hati. Ketika ini, kita diibaratkan bertemu dengan seorang raja.

Bukankah jika bertemu dengan seorang raja, kita akan berasa takut dan kagum? Maka, dengan Allah wajarlah seseorang berasa lebih gerun dan dalam masa sama berharap Allah menerima doa serta permintaannya.

4. Ingat Akan Kematian

Matinya seseorang mukmim, bererti terhentilah waktu untuk beramal dan beribadah. Maka, akan mendatangkan rasa untuk melakukan yang terbaik kerana masa semakin singkat tatkala memikirkan kematian yang kian mendekat.

Sabda Baginda Nabi SAW,

“Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan memperelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, sentiasalah beringat bahawa solat yang didirikan adalah solat yang terakhir dan mendirikannya dengan sehabis baik berserta khusyuk.

5. Pengharapan yang Tinggi kepada Allah SWT

Allah adalah semata-mata tempat berharap dan bukannya kepada makhluk atau material yang dimiliki. Solat adalah bukti pergantungan hamba kepada Allah kerana ketika ini kita paling dekat dengan Allah SWT terutama ketika sujud.

“Hanya orang mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (al-Anfal:2)

Oleh sebab Allah adalah tumpuan segala hajat, maka kita akan berusaha untuk khusyuk agar Allah SWT memakbulkan setiap doa kita.

Penutup

Solat tanpa khusyuk ibarat badan tanpa roh. Jadi janganlah berhenti berusaha untuk meraih khusyuk dalam solat demi menjadikan solat kita sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

Jika tidak khusyuk dalam mendirikan solat, solat tetap sah dan tidak perlu diulang tetapi nilai solat akan jatuh atau berkurangan. Sedangkan kita sewajarnya mengejar kemanisan khusyuk itu.

Semoga kita sentiasa berusaha meningkatkan kekhusyukan dalam mendirikan solat bahkan hati akan mudah menjadi khusyuk dan diterima oleh Allah SWT.

Penulis

Rabiatul Adawiyah

Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan; terutamanya penulisan kreatif seperti cerpen dan puisi, selain isu semasa, sejarah dan keagamaan. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Media dan Sejarah dari Universiti Malaya, kini sebagai editor dan penulis sambilan.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 014

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan hidup.

Episod 013

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 009

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

Andai berlaku kematian, dirikanlah solat jenazah bagi menghormati si mati.

Episod 008

Cara Solat Sunat Hajat Yang Mudah & Ringkas

Solat yang ditunaikan untuk memohon sesuatu permintaan.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Kapas Asli

Mampu menyerap tekanan ketika solat dengan sangat baik. Khususnya pada bahagian sendi seperti tumit kaki, lutut serta pada dahi.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.