Siri 013 Terbitan 31 July 2021

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Keindahan pagi selepas solat subuh pasti lebih bermakna dengan melakukan ibadah sunat lain seperti solat sunat dhuha. Namun, apakah solat dhuha itu?

Dalam al-Quran, surah an-Naziat:29, kata ‘dhuha’ diertikan sebagai ‘siang yang terang’. Ini juga bersesuaian dengan istilah ‘dhuha’ yang terdapat dalam surah Thaha:119 bermaksud ‘panas sinar matahari’. Dari segi bahasa, ‘dhuha’ bererti ‘matahari’ atau ‘cahaya matahari’, manakala dari segi syarak pula, solat sunat dhuha adalah solat yang dilakukan pada waktu matahari baru terbit.

Begitu pentingnya solat dhuha hingga dalam surah ad-Dhuha, Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’. Menurut Imam Arrazi apabila Allah SWT bersumpah dengan sesuatu, bermaksud perkara itu besar kelebihannya.

Dengan itu keagungan waktu dhuha dapat dilihat apabila waktu tersebut disunatkan mendirikan solat sunat dhuha.

Bilakah Waktu Menunaikan Solat Sunat Dhuha?

Solat sunat dhuha didirikan waktu pagi iaitu 20-30 minit selepas matahari terbit. Ketika itu, matahari naik sempurna sekitar tujuh hasta atau satu galah tingginya. Maka setelah masuknya waktu zohor, tamatlah waktu dhuha (10 minit sebelum zohor).

Hukum Melaksanakan Solat Sunat Dhuha?

Solat sunat dhuha termasuk dalam ibadah sunat dan tidak berdosa jika tidak melakukannya. Namun, sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala berganda.

Berapakah Rakaat Solat Sunat Ini?

Solat ini didirikan dua, empat, enam, lapan atau 12 rakaat dengan dua rakaat berserta satu salam.

Pendapat solat ini didirikan dalam dua rakaat adalah berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar r.a yang berkata bahawa;

“Rasulullah SAW bersabda; Firman Allah dalam hadis kudsi (maksudnya): ‘Hai anak Adam, solatlah keranaKu dua rakaat dhuha pada awal hari, nescaya Aku jamin (kesejahteraanmu) hingga akhir hari tersebut’.” – Hadis Riwayat al-Tabarani

Terdapat juga hadis mengenai pelaksanaan solat sunat dhuha sebanyak lapan rakaat;

“Riwayat daripada Ummu Hani r.h.a katanya (maksudnya): ‘Bahawa Rasulullah bersolat dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan kota Makkah. Baginda mengucap salam setiap kali selesai dua rakaat’.” – Hadis Riwayat Abu Daud

Manakala, solat sunat dhuha boleh dilakukan sebanyak 12 rakaat pula adalah berdasarkan kepada hadis berikut:

“Daripada Ibn Umar r.a., katanya, ‘Aku berkata kepada Abu Dzar, Hai, pakcik, berikan nasihat kepada saya’. Jawabnya, ‘Pertanyaanmu itu sama seperti pertanyaanku kepada Rasulullah SAW’. Lalu Baginda menjawab (maksudnya): ‘Jika anda laksanakan solat dhuha dua rakaat nescaya anda tidak akan ditulis di kalangan orang yang lalai.

Jika anda laksanakan solat dhuha empat rakaat, nescaya anda ditulis di kalangan Abidin, jika anda laksanakan solat dhuha enam rakaat nescaya anda tidak diikuti dengan dosa dan jika anda laksanakan solat dhuha lapan rakaat nescaya anda ditulis di kalangan Qanitin (sentiasa berdiri untuk beribadat).

Manakala seandainya anda laksanakan solat dhuha 12 rakaat nescaya dibinakan untuk anda istana di dalam syurga. Setiap tempoh masa, baik siang, malam, atau saat-saat tertentu Allah sentiasa menghulurkan sedekah kurniaNya kepada mana-mana orang yang dikehendakiNya. Tiada kurnia lain yang sering disebut-sebut oleh Allah terhadap hambaNya, kerana kurniaan amalan zikir (yang berterusan) kepada Allah yang dilakukan olehNya’.” – Hadis Riwayat al-Bazzar

Cara Melakukan Solat Sunat Dhuha?

Membaca Niat:


“Sahaja aku solat sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat Pertama:

1. Dimulakan dengan takbir dan berniat dalam hati.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca surah al-Fatihah.
4. Dianjurkan membaca surah al-Kafirun atau al-Syam.
5. Rukuk dan iktidal.
6. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.

Rakaat Kedua:

1. Dimulakan dengan lafaz takbir permulaan rakaat kedua.
2. Membaca surah al-Fatihah.
3. Dianjurkan membaca surah al-Ikhlas atau al-Dhuha.
4. Rukuk dan iktidal.
5. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
6. Duduk tahiyyat akhir.
7. Memberi salam.
8. Baca surah al-Fatihah dan berwirid.
9. Membaca doa dhuha selepas solat.

Doa Solat Sunat Dhuha:

Terdapat juga doa yang digalakkan dibaca selepas selesai solat sunat dhuha;

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Penutup

Solat sunat dhuha merupakan bukti kesyukuran yang tinggi serta pergantungan seseorang hamba kepada TuhanNya. Hati menjadi lebih tenang dan urusan rezeki menjadi lebih mudah adalah antara kelebihan dan hikmah seandainya menjadikan solat sunat ini sebagai amalan harian.

Semoga ketenangan dan kedamaian hati akan sentiasa menaungi hidup kita berkat daripada istiqamah mendirikan solat sunat dhuha ini. Amin.

Penulis

Rabiatul Adawiyah

Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan; terutamanya penulisan kreatif seperti cerpen dan puisi, selain isu semasa, sejarah dan keagamaan. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Media dan Sejarah dari Universiti Malaya, kini sebagai editor dan penulis sambilan.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 014

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan hidup.

Episod 012

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 009

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

Andai berlaku kematian, dirikanlah solat jenazah bagi menghormati si mati.

Episod 008

Cara Solat Sunat Hajat Yang Mudah & Ringkas

Solat yang ditunaikan untuk memohon sesuatu permintaan.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Kapas Asli

Mampu menyerap tekanan ketika solat dengan sangat baik. Khususnya pada bahagian sendi seperti tumit kaki, lutut serta pada dahi.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.