Siri 008 Terbitan 10 July 2020

Cara Solat Sunat Hajat Yang Mudah & Ringkas

“Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua rakaat.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Solat hajat adalah solat yang ditunaikan untuk memohon sesuatu permintaan khusus daripada Allah SWT. Solat ini juga didirikan untuk menolak perkara yang tidak diingini. Dalam kamus Lisan al-Arab, ‘hajat’ ditakrifkan sebagai kefakiran atau keperluan terhadap sesuatu.

Ya, sememangnya kita boleh memohon dan berdoa semasa solat lima waktu seharian, tetapi solat hajat didirikan untuk mendapat kelebihan yang lain atau tambahan permohonan tertentu, lebih-lebih lagi jika terdapat keperluan mendesak.

Bilakah waktu didirikan solat sunat hajat?

Solat sunat hajat ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, terutamanya ketika sedang menghajatkan sesuatu; di siang ataupun pada malam hari. Kecuali pada waktu-waktu tertentu yang dilarang mendirikan solat.

Adalah lebih afdal jika solat ini ditunaikan secara bersendirian di waktu sepertiga malam. Pada waktu itu adalah lebih tenang dan pasti lebih khusyuk dalam mendirikan solat. Bahkan ketika ini masanya lebih sesuai untuk bermunajat kepada Allah SWT.

Berapakah bilangan rakaat solat sunat hajat?

Solat sunat hajat boleh didirikan dalam dua rakaat (minimum), atau empat rakaat, sehingga maksimum 12 rakaat. Namun, dalam mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali berpegang pada pendapat dua rakaat sahaja.

Didirikan secara berjamaah atau sendirian?

Solat sunat hajat boleh didirikan secara bersendirian mahupun secara berjamaah jika niat dan keinginannya adalah sama.

Bagaimana caranya mendirikan solat sunat hajat?

Berikut adalah cara-cara mendirikan solat sunat hajat:

Niat

أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ ركْعَتَيْنِ أدَاءً لِلَّه تَعَالَى
“Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat pertama:

1. Dimulakan dengan takbir dengan menyebut lafaz ‘Allahu Akbar’ dan disertakan dengan niat dalam hati.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca surah al-Fatihah (satu kali).
4. Dianjurkan membaca surah asy-Syams (atau surah al-Kafirun) atau ayat Kursi (satu atau 10 kali)
5. Rukuk dan iktidal.
6. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.

Rakaat Kedua

1. Dimulakan dengan lafaz takbir permulaan rakaat kedua.
2. Membaca surah al-Fatihah (satu kali).
3. Dianjurkan membaca surah al-Ikhlas (satu kali atau 10 kali)
4. Rukuk dan iktidal.
5. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua (disarankan utnuk memanjatkan hajat pada sujud yang terakhir ini)
6. Duduk tahiyyat akhir.
7. Memberi salam.
8. Baca doa solat hajat:

Doa Solat Hajat

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِن كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِن كُلِّ إِثْم ٍوَالْفَوْزَ بِالْجَنَّةِ، وَالنَّجَاةَ مِنَ النَّارِ. اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَسْمَعُ كَلَامِي، وَتَرَى مَكَانِي وَتَعْلَمُ سِرِّي وَعَلَانِيَتِي وَلَا يَخْفَى عَلَيْكَ شَيْءٌ مِنْ أَمْرِي وَأَنَا الْبَائِسُ الْفَقِيرُ وَالْمُسْتَغِيثُ
الْمُسْتَجِيرُ وَالْوَجِلُ الْمُشْفِقُ الْمُقِرُّ الْمَعْتَرِفُ إِلَيْكَ بِذَنبِهِ أَسْأَلُكَ مَسْأَلَةَ الْمِسْكِينِ وَأَبْتَهِلُ إِلَيْكَ إِبْتِهَالَ الْمُذْنِبِ
الذّلِيلِ وَأَدْعُوكَ دُعَاءَ الْخَائِفِ الضَّرِيرِ دُعَاءَ مَنْ خَضَعَتْ لَكَ رَقَبَتُهُ وَذَلَّ لَكَ جسْمُهُ وَرَغِمَ لَكَ أَنفُهُ.

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.

Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.

Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.”

9. Memohon permintaan yang dihajati.
10. Selawat dan zikir:

لَا إِلهَ إلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
“Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim.”

Adab-adab lain dalam mendirikan solat sunat hajat?

Disarankan oleh para alim, agar solat hajat ditunaikan selepas tidur malam, kemudian bangun bersugi dan mandi terlebih dahulu, serta berpakaian putih bersih. Pastikan juga tempat solat bersih dan suci.

Bahkan afdal lagi jika didirikan solat sunat wuduk dan solat sunat tahajjud terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat hajat.

Kemudian bacakan surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW, kepada kaum muslimin muslimat dan ibu bapa yang telah meninggal dunia.

Selepas itu dirikan solat sunat hajat ini dengan yakin dan tenang.

Selain itu, dalam mendambakan sesuatu dan mahu ianya ditunaikan oleh Allah SWT, pohonlah dengan kerendahan hati dan berdoa bersungguh-sungguh selain yakin Allah SWT akan menerima segala permintaan kita. Sentiasalah bersangka baik denganNya.

Alhakim berkata;

“Sesiapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya.”

Penutup

Mendirikan solat sunat hajat bukanlah sekadar memohon dikurniakan keinginan dan permintaan semata-mata, bahkan lebih dari itu; rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Ini kerana melazimi solat sunat juga adalah satu hal yang akan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allah SWT bukan sahaja memudahkan permintaan hambaNya melalui solat sunat hajat ini, bahkan mengurniakan pula pahala kebaikan kepada pemohonnya yang bersungguh-sungguh berdoa dan berharap hanya padaNya. Sungguh baik Allah.
Semoga kita selalu meletakkan Allah SWT sebagai satu-satunya tempat untuk berharap dan meminta, amin.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah:186)

Penulis

Rabiatul Adawiyah

Beliau mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan; terutamanya penulisan kreatif seperti cerpen dan puisi, selain isu semasa, sejarah dan keagamaan. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Media dan Sejarah dari Universiti Malaya, kini sebagai editor dan penulis sambilan.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 014

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan hidup.

Episod 013

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’.

Episod 012

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 009

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

Andai berlaku kematian, dirikanlah solat jenazah bagi menghormati si mati.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Kapas Asli

Mampu menyerap tekanan ketika solat dengan sangat baik. Khususnya pada bahagian sendi seperti tumit kaki, lutut serta pada dahi.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.