Pernahkah anda terjaga pada waktu malam secara tiba-tiba? Ha, barangkali itulah tandanya waktu terbaik untuk kita mendirikan solat sunat Tahajjud dan bermunajat kepada Allah SWT.
Tahajjud adalah sembahyang sunat yang didirikan apabila terjaga daripada tidur malam. Solat sunat Tahajjud boleh didirikan walaupun tidur itu hanyalah sebentar sahaja, dan tidak boleh didirikan solat ini sekiranya tidak tidur terlebih dahulu.
Hukum Mendirikan Solat Sunat Tahajjud
Mendirikan solat sunat Tahajjud adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat-sangat dituntut oleh Allah SAW. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (Tahajjud) di tengah malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bilangan Rakaatnya
Solat sunat Tahajjud didirikan dengan sekurang-kuranganya dua rakaat dengan satu kali salam. Sebenarnya tiada had rakaat tertentu dalam solat sunat Tahajjud. Namun, sebaik-baiknya dirikanlah 11 rakaat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW:
“Daripada Abi Salamah bin Abd Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah, bagaimanakah solat Rasulullah SAW di malam Ramadan? Maka berkatalah Aisyah: ‘Baginda tidak menambah lebih daripada sebelas rakaat, sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan lain’.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Waktu Mendirikan Solat
Jadi, bilakah waktu yang sesuai untuk mendirikan solat sunat ini?
Sudah tentu pada waktu malam, iaitu selepas waktu Isyak sehingga terbit fajar. Sebaik-baiknya pada waktu satu pertiga malam, setelah berlalunya dua pertiga malam iaitu sekitar jam 3.00 pagi sehinggalah menginjak Subuh.
Daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)’, sehinggalah terbit fajar.” (Hadis Riwayat Muslim)
Lafaz Niat Solat:
أُصَلِّى سُنَّةَ التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.”
Bacaan Dalam Solat:
Rakaat pertama; Hendaklah membaca surah al- Fatihah dan surah al-Kafirun. Namun, sekiranya tidak menghafal surah ini, bacalah mana-mana surah yang diketahui.
Rakaat kedua; Membaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas. Sebenarnya tiada sebarang penetapan bacaan tertentu untuk solat ini. Jadi jangan disebabkan tidak meghafal surah tersebut menghalang kita mendirikannya pula.
Ketika mendirikan solat; Kita sangat digalakkan untuk banyak bertasbih dan beristighfar ketika rukuk dan sujud.
Doa Selepas Solat
Selepas memberi salam, baca doa ini:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ الحَقُّ، وَوَعْدُكَ الحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ ﷺحَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ. اَللَّهُمَ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ أَمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبٍكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ فَاغْفِرْلِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ المُقَدَّمُ وَأَنْتَ المُؤَخَّرُ لَاإِلٰه إِلَّا أَنْتَ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ
“Ya Allah bagiMu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar.
Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
Sesungguhnya, Allah SWT menyediakan begitu besar ganjaran untuk golongan yang bangun pada malam hari untuk menunaikan solat sunat Tahajjud. Namun, tidak ramai yang sanggup meninggalkan tempat lena yang empuk lalu membasahkan anggota badan dengan air yang sejuk. mencengkam. Disebabkan ‘cabaran’ itulah, sesiapa yang bangun pada malam dengan niat mengerjakan Tahajjud sangat istimewa dan terpilih.
Semoga kita terdiri daripada mereka yang terpilih melazimi Tahajjud dan menjadi golongan yang mencintai solat sunat ini. Amin.