Solat sunat Witir? Kita sering kali mengaitkannya dengan solat Tarawih, kan?
Sebenarnya, tidak semestinya solat ini dilakukan pada bulan Ramadan sahaja, bahkan sunat didirikan pada waktu selain daripada bulan puasa itu, tidak kisahlah pada bila-bila malam pun secara bersendirian ataupun berjamaah.
Solat sunat Witir adalah solat yang didirikan sebagai pengakhiran bagi solat lain pada satu-satu hari tersebut. Jadi, hendaklah didahulukan solat lain seperti Tahajjud, solat Tarawih dan solat Hajat sebelum mengerjakan solat ini. Ini kerana Witir adalah solat pelengkap atau penutup yang tidak ada lagi solat lain selepasnya.
Rasulullah SAW bersabda;
“Daripada Ibn Umar daripada Nabi SAW sabdanya; ‘Jadikanlah sembahyang Witir sebagai sembahyang terakhir bagi kamu pada waktu malam’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Solat Sunat Witir
Sebenarnya, solat Witir lebih utama daripada solat-solat sunat Rawatib yang lain. Hukumnya adalah sunat muakkad, iaitu solat yang sangat dituntut untuk dikerjakan. Seperti sabda Rasulullah SAW;
“Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah solat Witir, sebab Allah itu Witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada Witir.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rakaat Solat Sunat Witir
Solat sunat Witir tidak genap rakaatnya, iaitu boleh didirikan sama ada dengan satu, tiga, lima, tujuh, sembilan atau paling banyak 11 rakaat. Solat ini juga boleh dilakukan dalam dua-dua rakaat dan diakhiri satu rakaat, ataupun diakhiri dengan tiga rakaat (satu kali tahiyyat satu kali salam).
Tetapi yang paling afdhal ialah 11 rakaat. Rakaat yang paling minima adalah satu rakaat sahaja, namun digalakkan tiga rakaat dengan dua salam.
Waktu Solat
Waktu yang sesuai untuk mendirikan solat sunat Witir adalah selepas solat Isyak sehingga menjelangnya waktu solat Subuh.
Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir
Cara mengerjakan solat witir Lazimnya dilakukan dua rakaat, sekali salam diikuti dengan satu rakaat sekali salam.
Ini bermaksud:
1. Satu rakaat – sekali satu rakaat
2. Tiga rakaat – sekali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
3. Lima rakaat – Dua kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
4. Tujuh rakaat – Tiga kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
5. Sembilan rakaat – Empat kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
6. Sebelas rakaat – Lima kali dua rakaat dan sekali satu rakaat.
Lafaz Niat Dua Rakaat:
أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.”
Pada rakaat pertama; hendaklah membaca surah al-Fatihah dan surah al-A’la.
Pada rakaat kedua; bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.
Lafaz Niat Satu Rakaat:
أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَ
“Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.”
Selepas membaca al-Fatihah, bacalah surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas
Sebaik selesai tahiyyat dan salam, bacalah bacaan ini;
يَا لَطِيْفُ يَا كَافِييَا حَفِيْظُ يَا شَافِي (x 2 kali)
يَا لَطِيْفُ يَا وَافِي يَا كَرِيْمُ أَنْتَ الله (x 1 kali)
لآ إِلٰهَ إِلَّا الله (x 10 kali)
Baca pula doa solat sunat Witir, iaitu;
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَأَعُوذُ بِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِى ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
Namun bagaimana pula jika seseorang itu telahpun mengerjakan solat sunat Witir, tetapi mahu bersolat lagi selepas itu?
Jika begitu, dia boleh bersolat lagi tetapi tidak boleh mengulangi lagi solat Witir. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasullullah SAW yang bersabda;
“Tidak ada dua Witir pada satu malam.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Namun, mengikut pandangan para ulama, sesiapa yang telah mengerjakan solat sunat Witir di awal malam dan bangun semula pada tengah malam untuk bersolat lagi, maka hendaklah mendirikan solat sunat Witir satu rakaat lagi dengan niat menggenapkan solat Witir yang awalnya tadi.
Setelah mengerjakan solat sunat Witir satu rakaat, barulah didirikan solat sunat yang lain pula. Lalu diakhiri dengan solat Witir, yang dikira sebagai satu solat sunat Witir sahaja.
Rupa-rupanya terdapat banyak solat sunat yang sepatutnya kita amal dan perbanyakkan. Bukan sahaja dapat menambah tabung pahala kita, tetapi mendekatkan diri kepada Allah SWT selain mendidik jiwa kita menjadi manusia yang lebih berjiwa hamba.
Mudah-mudahan dari hari ke hari, kita dapat menambahkan amalan solat sunat kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih beriman dan bertaqwa.