‘Solat’ daripada sudut bahasa adalah doa atau memohon kebajikan dan juga pujian. dalam syarak, solat adalah perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.
Solat juga penghubung antara seseorang hamba dengan tuhannya, sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan. Melalui solatlah, kita mengadu, meminta, merayu terhadap Allah SWT tanpa ada apa-apa perantaraan. Bahkan sesiapa yang mendirikan solat mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT di dunia dan akhirat kelak.
Ibadah solat melengkapkan diri manusia dengan semua sifat terpuji dan golongan yang mengerjakan solat akan mendapat petunjuk Allah serta beroleh kejayaan. Ini kerana dalam solat terdapat disiplin-disiplin tertentu yang menjamin kejayaan kepada sesiapa yang melaziminya.
Tetapi dengan cara yang bagaimana solat membentuk disiplin?
Cara Solat Membentuk Disiplin
1. Berdisplin Dengan Waktu
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(an-Nisaa’:103)
Maklum, waktu adalah hal yang sangat mustahak dalam mendirikan solat kerana setiap solat ada masanya yang tertentu dan tersendiri. Bahkan salah satu dari syarat sah solat adalah mendirikan solat tersebut dalam waktunya.
Oleh itu ketepatan waktu sangat penting, bahkan golongan yang solat di awal waktu adalah mereka yang menepati waktu, begitu juga dengan golongan menepati waktu adalah mereka yang gemar bersolat di awal waktu.
Lihatlah kelebihan mengerjakan solat di awal waktu;
- Allah SWT menghadiahkan bonus istimewa kepada sesiapa yang mendirikan solat di awal waktu, bahkan jika sengaja melewatkan solat pula akan dimurkai oleh Allah SWT.
- Golongan yang datang awal ke masjid untuk berjemaah juga akan berada di saf paling hadapan, dan mereka ini juga diganjarkan dengan habuan besar lantaran solat di barisan paling hadapan.
Dengan itu, apabila seseorang itu berjaya menjaga disiplin dalam solat, maka dia akan berterusan menjaga masanya dalam kehidupan seharian. Pendek kata solat secara tidak langsung mengajar seseorang itu untuk menguruskan masa dengan baik dan tepat!
2. Fokus Dan Tumpuan
Khusyuk adalah hal terpenting dalam solat. Khuysuk juga hanya terjadi apabila kita fokus, iaitu fokus kepada Allah SWT dalam mendirikan solat seolah-olah Allah sedang melihat kita, membaca bacaan dengan baik serta menjaga adab tertib dalam pergerakan solat.
Begitulah dalam kehidupan seharian,jika fokus solat tadi dibawa keluar pasti setiap pekerjaan yang dilakukan diberi tumpuan dengan bersungguh-sungguh. Dengan itu pasti hasilnya juga terbaik dan memuaskan. Hal itu sesuai dengan janji Allah yang berbunyi;
“Sesungguhnya kemenangan bagi orang mukmin yang khusyuk di dalam solat.” (al-Mukminun: 1-2)
3. Menepati Janji
Solat juga adalah perihal janji, iaitu janji yang jika tidak ditetapi juga merupakan sikap yang dimurkai oleh Allah SWT. Begitu juga setiap kali mendirikan solat adalah seperti memperbaharui janji dengan Allah SWT. Bermaksud, lima kali sehari kita berjanji dengan Allah SWT.
“Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
(al-An’aam :162)
Itu janji dengan Allah SWT, apatah lagi jika kita berjanji dengan sesama manusia, sudah pasti janji tersebut akan lebih mudah ditunaikan kerana nampak di hadapan mata.
Dengan itu solat secara tidak langsung mendidik manusia menjadi insan yang sentiasa melunaskan janji, dan tidak berjanji palsu. Sangat buruk kesannya jika menjadi manusia yang memungkiri janji. Dengan itu golongan yang patuh dengan solat, sudah tentu bukan dalam mereka yang memungkiri ini.
4. Sentiasa Jujur Dan Amanah
Bagaimana solat mengajar umat Islam menjadi jujur dan amanah? Salah satunya, jika melakukan hal yang membatalkan solat, seseorang itu akan memulakan solat yang baru tanpa ada sesiapa pun yang memaksanya, iaitu sifat ihsan yang ada dalam dirinya itu terbentuk melalui solat.
Solat hanya melibatkan manusia dengan Allah SWT yang menjadi saksi tunggal akan ibadahnya itu. Tetapi tidak bagi ibadah lain yang melibatkan manusia lain. Jadi solat secara tidak langsung menjadikan pelakunya jujur, serta amanah dengan sendirinya
Seseorang seperti ini adalah ikhlas dalam melakukan pekerjaan hariannya kerana solat telah melatihnya sedemikian.
5. Bertahan Dengan Ujian
Setiap umat islam yang mendirikan solat pasti berperang dengan hawa nafsu, bergelut dengan kemalasan, berebut dengan alasan dan sebagainya. Solat secara tidak langsung telah membuatkan kita terdidik untuk melawan setiap masalah dan ujian itu.
Bermakna, seseorang itu berusaha untuk mendirikan solat, bererti dia telah berjaya melawan cabaran itu. Apatah lagi dalam dunia nyata, pasti sentiasa berjaya melawan apa-apa jua cabaran serta tidak berputus asa menghadapinya.
Solat sangat-sangat membantu menguatkan jiwa serta menyediakan manusia untuk berhadapan dengan apa-apa jua dugaan.
6. Mentaati Pemimpin
Solat mendidik disiplin untuk patuh kepada pemimpin, terutamanya dalam solat berjemaah, iaitu:
- Setiap makmum mestilah mengikuti perbuatan imam daripada niat solat sehinggalah selesai memberi salam. Ini adalah simbolik dalam kehidupan seharian iaitu mematuhi arahan pemimpin. Aspek ini juga sangat dititikberatkan dalam sesebuah organisasi.
- Suara makmum juga dilarang untuk lebih tinggi dan terdahulu daripada imam. Jika tidak, tidak sah solatnya. Lalu, solat berjemaah dapat mendisiplinkan hati, akal serta fizikal agar mematuhi pemimpin.
- Makmum juga tidak boleh bergerak tanpa didahului oleh imam. Sehingga di luar solat pun jika disiplin ini bertererusan akan melahirkan masyarakat yang menghormati para pemimpim di mana-mana saja.
- Solat jemaah juga mengutamakan hal barisan atau saf yang lurus dan rapat. Begitulah dalam kehidupan seharian, yang mementingkan penyatuan dan perpaduan. Bukannya renggang dan tidak berukhuwah.
- Makmum boleh mengingatkan atau menegur imam jika terlupa rukun atau bacaan. Imam juga boleh diganti dengan orang yang di belakangnya jika solat terbatal. Semua ada caranya, begitulah jika seseorang pemimpin yang terkhilaf, tersalah atau terlajak kata yang pasti ada caranya utnuk diselesaikan.
Penutup
Begitulah dispilin-disiplin yang terlahir dari ibadah solat yang mampu melonjakkan umat Islam untuk maju serta berdaya saing dalam menjalani kehidupan duniawi. Maka, bukankah umat Islam seharusnya lebih terkehadapan? Lalu disimpulkan, mahu maju dan berjaya, berjayalah dahulu dalam bab solatnya.
Justeru, golongan yang mengutamakan solat dan berpegang dengan disiplinnya insyaAllah akan menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat, lantaran solat adalah tunggak asas dan solat pula tunjangnya.
Semoga kita sama-sama termasuk dalam golongan yang mengutamakan solat, amin.
“Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa yang mengerjakannya, bererti ia menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya, bererti ia telah merobohkan agama.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)