Siri 001 Terbitan 30 April 2020

Dua Rakaat Yang Dicintai Nabi

Solat Qabliyah Subuh atau lebih dikenali dengan nama Solat Fajar merupakan solat rawatib yang dilakukan seusai azan Subuh dilaungkan beriringan dengan solat fardu.

Solat ini dilakukan sebanyak dua rakaat sebelum kita melakukan solat fardu Subuh dan hukum melaksanakan solat ini ialah sunat muakkad yakni amalan sunat yang Nabi lazimkan sepanjang hayat dan Baginda tidak pernah meninggalkannya.

Bahkan, solat sunat fajar ini merupakan solat sunat yang paling disukai oleh baginda di antara solat sunat rawatib yang lain seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tidak pernah dilihat Nabi s.a.w begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda s.a.w mengambil berat tentang dua rakaat fajar.”

(Riwayat al-Bukhari:1116)

Solat fajar ini merupakan solat yang tiada tertanding kelebihannya. Dalam satu riwayat lain pula, Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

“Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

(Riwayat Muslim: 725)

Keistimewaan Paling Utama

Terdapat banyak keistimewaan bagi mereka yang berjaya menunaikan solat fajar. Antara keistimewaan yang begitu menarik untuk diraih oleh kita ialah melihat wajah Allah di dalam Syurga.

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w, riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Jarir bin Abdullah berkata:

“Kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, ‘Sungguh, kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan yang tidak terhalang dalam melihatnya. Apabila kalian mampu, janganlah kalian menyerah melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.’”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cabaran Solat Fajar

Bukan sembarangan kelebihan solat sunat dua rakaat ini. Mudahnya kerana ia dua rakaat, sukarnya adalah kerana waktu ia dilakukan. Tilam yang empuk, suhu yang dingin, suasana yang gelap serta tidur yang nyenyak adalah antara cabaran yang perlu dilalui untuk meraih kejayaan solat fajar.

Perkara ini diperakui oleh Rasulullah s.a.w di mana baginda bersabda bahawa:

“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya’ dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan, salah satu syarat untuk menjadi anggota askar Izzuddin Al-Qassam iaitu kumpulan tentera HAMAS adalah solat Subuh berjemaah di masjid selama satu bulan berturut-turut. Sekiranya gagal walaupun satu hari, dia dianggap tidak lulus.

Tiada Alasan Meninggalkan Solat Fajar

Betapa besarnya fadhilat solat yang dilakukan pada waktu Subuh. Hanya mereka yang kuat dan teguh imannya akan tegar mengharungi waktu dingin ini untuk bangun menunaikan solat fajar dan solat Subuh.

Jika tertinggal juga, maka berusahalah untuk mengqadakan solat sunat tersebut tepat setelah selesai solat Subuh ataupun sesudah masuk waktu syuruk.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang tidak sempat solat sunat Subuh maka boleh dilakukan setelah terbit matahari.”

(Riwayat at-Tirmidzi disahihkan oleh Syaikh Al Albani)

Sesungguhnya diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Janganlah meninggalkan solat sunat Subuh, walaupun kalian dikejar pasukan musuh.”

(Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

 
 

Rujukan:
M. Suhaidi, Hebatnya Bangun Awal Pagi, Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd., 2014.

Penulis

Nur Ismalina Haris

Beliau merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik.
Artikel

Siri Tentang Solat adalah segalanya perihal solat. Ia perkara pertama yang akan dipersoalkan kelak. Pembelajaran berkaitan solat adalah proses perjuangan seumur hidup. #TentangSolat

Terkini
14 Artikel
Episod 014

Hikmah & Kelebihan Solat Awal Waktu

Jadikanlah amalan solat pada awal waktu sebagai keutamaan hidup.

Episod 013

Cara Solat Sunat Dhuha Yang Mudah & Ringkas

Allah bersumpah dengan ‘demi waktu dhuha’.

Episod 012

Cara Meraih Khusyuk Dalam Solat

Khusyuk itu bukan sahaja terletak pada hati.

Episod 011

Solat Sebagai Asas Disiplin Diri

Solat sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan.

Episod 010

Cara Solat Sunat Istikharah Yang Mudah & Ringkas

Solat bertujuan memohon petunjuk daripada Allah.

Episod 009

Panduan Solat Sunat Jenazah Yang Mudah & Ringkas

Andai berlaku kematian, dirikanlah solat jenazah bagi menghormati si mati.

Program Lain Untuk Anda
Penaja

Sejadah Kaabah

Sejadah bermotifkan sesenian Kaabah yang menggamit kenangan bersolat di tanah suci.

Kenapa wujudkan Wadah?

AMRU mempunyai impian untuk memainkan peranan di dalam setiap perilaku serta amal baik umat Islam di seluruh dunia. Selain menjual peralatan ibadah seperti sejadah, mewujudkan Wadah adalah salah satu cara untuk kami mencapai impian tersebut. Semoga konten yang diterbitkan ini memberi manafaat kepada ramai orang.