Dalam bulan Ramadan, ada suatu malam yang Allah hadiahkan kepada para hambaNya; Malam Lailatul Qadar. Betapa istimewanya malam ini sehingga Allah SWT mengkhususkan satu surah yang dinamakan surah ‘al-Qadr’; yang menceritakan akan kelebihan malam Lailatul Qadar ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Sesungguhnya kami telah menurunkannya di malam al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu malam. (Pada malam tersebut) para Malaikat dan al-Rub (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” (al-Qadr : 1-5)
Bilakah waktu berlakunya malam Lailatul Qadar? Para ulama telah bersependapat bahawa Lailatul Qadar akan berlaku di malam-malam sepuluh yang terakhir dalam bulan Ramadan, ini bersandarkan kepada banyak hadis Rasulullah SAW.
Daripada Aishah RA, bahawa Rasulullah SAW beriktikaf di masjid dalam sepuluh hari yang terakhir Ramadan, kemudian Baginda bersabda:
“Carilah Lailatul Qadar dalam sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu, terdapat pandangan ulama mengatakan bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam ini, iaitu: malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Namun secara tepatnya, Allah SWT sahaja yang mengetahui, bahkan kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang menemui malam yang penuh istimewa itu. Bukan sahaja ditemukan sekali sahaja setahun, bahkan sekali seumur hidup pun belum tentu kita akan menemuinya. Sebenarnya terdapat banyak kelebihan malam Lailatul Qadar ini, antaranya;
1. Waktu al-Quran Diturunkan
Pada malam Lailatul Qadar inilah Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran kepada umat Islam.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. (al-Qadr:1)
Ibnu ‘Abbas dan selainnya mengatakan;
“Allah menurunkan Al-Quran secara keseluruhan sekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW tersebut secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.”
2. Malam yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
”Sesungguhnya Ramadan sudah tiba kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Dalam surah al-Qadar, ayat 3, Allah SWT menegaskan;
“Malam Lailatul Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.” (al-Qadar: 3)
Para Alim ulama berpendapat bahawa maksud ‘lebih baik dari seribu bulan’ itu adalah solat dan amal ibadah pada malam Lailatul Qadar itu adalah lebih baik dari solat dan puasa di seribu bulan (83 tahun) yang tidak terdapatnya Lailatul Qadar.
3. Turunnya Para Malaikat
Allah SWT menurunkan malaikat ribua malaikat yang diketuai oleh ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam Lailatul Qadar. Malam itu digambarkan dengan suasana yang penuh gilang-gemilang demi memberi keampunan serta hidayah kepada golongan yang berpuasa dan beribadah dengan ikhlas. Firman Allah SWT:
“Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.” (al-Qadar: 4)
4. Malam Keberkatan dan Kesejahteraan
Lailatul Qadar merupakan suatu malam yang menenangkan kerana Allah SWT mengkhususkan keistimewaan pada malam itu dengan dipenuhi rahmat dan kasih sayangNya. Firman Allah SWT;
“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.” (ad-Dhukan:3)
Lailatul Qadar juga disifatkan sebagai ‘salam’, iaitu malam kesejahteraan yang tidak pernah ada pada waktu lain. Salah satunya kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan ‘salam sejahtera’ kepada seluruh penduduk bumi.
Firman Allah SWT:
“Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit fajar!” (al-Qadar: 5)
5. Waktu Dicatatkan Takdir Tahunan
Allah SWT berfirman dalam surah ad-Dhukan;
“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (ad-Dhukan:4)
Lailatul Qadar juga merupakan waktu yang ditentu, serta dicatatkan takdir tahunan. Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menerangkan bahawa; pada Lailatul Qadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, juga akan dicatatkan tentag ajal maut dan rezeki. Dan turut juga dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun. Demikian juga diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar, Abu Malik dan ulama salaf lainnya.
Allah SWT berfirman,
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisiNyalah terdapat Umulkitab (Lohmahfuz).” (ar-Ra’d: 39)
6. Malam Diampunkan Dosa
‘Lailatul Qadar’ juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayahNya kepada golongan yang berpuasa dan beribadat pada malam harinya.
Sesungguhnya malam Lailatul Qadar ini adalah peluang untuk bertaubat dari segala dosa bagi setiap hamba Allah SWT. Setiap orang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar akan diampunkan oleh Allah SWT selain dikurniakan dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,
“Sesiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Sebenarnya kita ini sangat beruntung kerana mendapat peluang sebesar ini bagi meraih pelbagai ganjaran istimewa dalam memilih kebaikan di akhirat kelak. Jadi tawaran istimewa ini haruslah kita ambil dan gunakan dengan sebaik mungkin.
Mudah-mudahkan kita terpilih sebagai tetamu yang menemui malam Lailatul Qadar yang istimewa itu. Lalu janganlah pula kita menjadi golongan yang rugi dengan mensia-siakan peluang kebaikan yang telah Allah kurniakan. Semoga kita tidak termasuk dalam kumpulan hamba yang menanggung rugi itu. Aamiin Yaa Rabbal Alamin.